Imigresen Perak tahan 40 warga asing di pusat hiburan, rumah urut

Berita Perak

SITIAWAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 40 orang warga asing dalam operasi ke atas dua pusat hiburan dan rumah urut sekitar Sitiawan, awal pagi ini.

Penahanan melibatkan 33 orang wanita dan lima lelaki terdiri daripada warganegara Vietnam, Indonesia, Myanmar, China dan Thailand.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, dua warga negara turut ditahan dan kesemua mereka berusia antara 25 hingga 35 tahun.

“Serbuan sebelum ini pernah dilakukan tahun lepas dan ini merupakan serbuan lebih daripada sekali dan didapati pemilik premis masih menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Dalam operasi bermula pukul 11 malam pada Jumaat sehingga 2 pagi Sabtu itu, kira-kira 70 pegawai JIM memeriksa 80 warga asing dan dua warga tempatan.

Kesemua warga asing ditahan kerana dipercayai melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk tindakan lanjut.