Imigresen Perak tahan 38 PATI dalam serbuan sekitar Kinta, Perak Tengah

Berita Perak

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di 22 premis sekitar Daerah Kinta dan Perak Tengah bermula malam tadi sehingga awal pagi ini.

Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil risikan dan pemantauan yang telah dijalankan.

Menurutnya, dengan kekuatan seramai 12 orang Pegawai Imigresen, seramai 72 orang warganegara Malaysia dan pelbagai warganegara asing telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, seramai 38 orang warga asing telah ditahan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Warga asing yang ditahan adalah terdiri daripada 28 orang lelaki dan lapan perempuan serta dua kanak-kanak yang berusia lingkungan 1 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada, tujuh lelaki warga India, empat lelaki Myanmar, lapan lelaki Bangladesh, enam lelaki dan seorang wanita Pakistan serta 12 warga Indonesia, masing-masing tiga lelaki, tujuh wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan dua orang kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh, bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut proses di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta
Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa permit yang sah; Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu telah tinggal / berada dalam negara Malaysia melebihi tempoh sah permit yang dikeluarkan tamat dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan- peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat permit yang telah dikeluarkan.

“JIM Perak berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi bersama membantu dalam usaha membanteras kedatangan PATI dalam negara ini,” ujarnya.

Selain daripada PATI, kata Meor Hezbullah, JIM juga akan mengambil tindakan tegas melalui peruntukan undang-undang terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi atau membenarkan keberadaan PATI di premis tanpa permit yang sah termasuk, mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah.