Ikon Wanita Perak kongsi pengalaman, pengetahuan bersama pelajar SMK Kampar

Berita Perak

KAMPAR: Lebih 50 pelajar dari SMK Kampar diberikan suntikan semangat dan motivasi untuk persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Perkongsian pengalaman dan kisah pahit manis hidup disampaikan oleh Ikon Wanita Perak, Tina Tajuddin, yang berinteraksi bersama para pelajar tersebut.

Dalam amanat yang disampaikan hampir tiga jam itu, Tina menceritakan cabaran dan dugaan ketika dia berusaha melanjutkan pelajaran, meskipun berdepan banyak kekangan.

Tambah menarik apabila separuh daripada pelajar di sekolah terbabit terdiri daripada Orang Asli suku Semai.

Difahamkan terdapat seramai 352 pelajar di sekolah itu dengan 63 daripadanya merupakan pelajar Tingkatan 5.

Menurut Pengetuanya, Shohaily Md Noor, kebanyakan anak Orang Asli di sekitar kampung di situ memilih SMK Kampar untuk bersekolah.

Mereka datang dari kampung sekitar Sahom dan Kuala Dipang.

Dua pelajar Orang Asli yang mengikuti program jelajah Gerak Generasi Baru (GGB) anjuran Taj International College (TIC) berkata perkongsian yang disampaikan sangat mengispirasi.

Marshzaah Bah Rusin, 17, dari Kampung Sungai Gapes berkata dia bertekad untuk membuka perniagaan sendiri selepas SPM.

“Saya mahu sambung belajar dan selepas itu mulakan perniagaan sendiri untuk bantu keluarga.

“Sekarang pun memang saya bantu bapa di dusun durian dan jual,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Annie Farafiqka Kassriszuan dari Kampung Pos Dipang pula berkata dia memang mahu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

“Saya dapat dengar apa yang disampaikan Puan Tina, memang beri semangat. Cita-cita saya mahu jadi jururawat.

“Mak ada pesan supaya belajar sungguh-sungguh, memandangkan dia pun kerja dalam bidang kesihatan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, Muhamad Aidil Zaquan, 17, berkata dia mahu berkecimpung dalam industri perkapalan selepas SPM.

“Terima kasih kepada pihak TIC kerana bagi pendedahan tentang hala tuju kepada kami di sini, sekurang-kurangnya kami tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya.