Ibu tunggal tidak mengaku perdagang anak kandung

Berita Perak

IPOH: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memperdagangkan anak kandungnya sejak tiga tahun lalu.

Hasimah Saad, 44, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan
Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdagangkan anak perempuannya yang berumur 17 tahun ketika kejadian, bagi maksud eksplotasi seks.

Suri rumah itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah flat di Sitiawan, dalam Daerah Manjung antara tahun 2022 sehingga 3 September 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa telah memperdagangkan mangsa sama bagi maksud eksplotasi dengan cara menggunakan kekerasan untuk memaksa mangsa bekerja sebagai pekerja seks.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut dilokasi sama antara 4 September 2024 hingga 7 Jun 2025 lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 12 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi, termasuk dua lagi anaknya yang berumur 16 dan 19 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh bertemu kedua-dua anaknya itu dengan kehadiran pegawai penyiasat, sekiranya mereka bersedia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikam Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.