Hospital Seri Botani laksana program infaq mesin tekanan darah tinggi sempena Ramadan

Berita Perak

IPOH: Hospital Seri Botani meneruskan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti dengan melaksanakan Program Infaq Mesin Tekanan Darah sempena bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital.

Menurut kenyataan pihak hospital, program itu bertujuan mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemantauan tekanan darah secara berkala, di samping menggalakkan pengesanan awal risiko penyakit tidak berjangkit seperti hipertensi, strok dan penyakit jantung yang semakin membimbangkan.

Katanya, mesin tersebut telah diserahkan secara rasmioleh Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Seri Botani, Dr. EricYeoh Kok Ming, kepada pengerusi masjid dan surau yang terlibat sebagai simbolik komitmen hospital dalam memperluaskan akses saringan kesihatan kepada komuniti.

“Antara lokasi yang menerima sumbangan ialah Surau Al-Ansar, Seri Palma; Surau Ta’udud Ulul Albab, Seri Margosa; dan Masjid Raudhatul Mukminin.

“Sebagai nilai tambah kepada inisiatif ini, sesi demonstrasi penggunaan mesin tekanan darah telah dikendalikan Penolong Pengarah Kejururawatan Hospital Seri Botani, Puteri Nur Izzati Megat Abdul Samat, bagi memastikan komuniti memahami teknik penggunaan yang tepat serta cara mentafsir bacaan tekanan darah dengan betul,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, turut diadakan sesi penerangan ringkas berkaitan tanda-tanda kecemasan yang memerlukan rawatan segera, termasuk simptom seperti sakit dada, sakit kepala yang teruk dan bacaan tekanan darah tinggi yang berisiko.

Menurut pihak pengurusan hospital, inisiatif itu bukan sekadar sumbangan peralatan kesihatan, tetapi merupakan usaha strategik dalam membudayakan amalan saringan kendiri serta meningkatkan literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat.

“Hospital Seri Botani akan terus memperkukuh kerjasamabersama institusi komuniti dalam menjayakan program kesedaran kesihatan yang berimpak tinggi demi melahirkan masyarakat yang lebih sihat, peka dan bertanggungjawab terhadap penjagaan kesihatan diri,” ujarnya.