IPOH: Semua pihak mesti menghormati dan menerima kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara mengenai pengampunan mana-mana banduan yang diberi keampunan atau pengurangan hukuman
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, ia mesti diterima dengan hati terbuka sebagai menghormati institusi istana.
Tambahan pula, katanya, perkara yang dinyatakan mengenai pengampunan banduan dalam kenyataan itu sudah jelas.
“Kalau dilihat kenyataan itu ianya sangat jelas, ada lunas-lunas yang tertentu. Ikutilah ia, cukup.
“Suka tak suka ini adalah dari segi undang-undang dan kita mesti hormati Yang Di-Pertuan Agong.
“Adalah yang maha mustahak kita perlu terima pandangan terbabit. Suka atau tidak, saya mesti menghormati raja saya, sebagai mana termaktub dalam prinsip Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 60 mangsa banjir kawasan Arena Kepayang Putra, Ipoh, pada Jumaat.
Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan berkata, kuasa memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagai mana termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Melalui kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung, atau meringankan apa-apa hukuman yang sudah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Menurut kenyataan itu, kuasa Yang di-Pertuan Agong dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh baginda.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini.
Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Najib terutama dalam soal titah adendum untuk membolehkan bekas Presiden UMNO itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui kenyataan sebelum ini berkata Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.