Himpunan Turun Anwar tiada hala tuju, bangkit keresahan rakyat

Berita Perak

TAMBUN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai ini sebagai tiada hala tuju dan fokus yang jelas.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebaliknya ia lebih kepada untuk membangkitkan keresahan serta kebimbangan di kalangan rakyat.

Menurutnya, sebagai orang politik, pembangkang memang suka mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.

“Fokus kita tidak berganjak perkasakan ekonomi, perkukuhkan hubungan dagang kita dengan negara-negara (lain).

“Malaysia tahun ini sebagai Pengerusi ASEAN, itu harus memainkan peranan dengan baik dan insya Allah itu sedang dilakukan dengan baik oleh kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keseniaan Islam dan Malam Mahabbah Madani Parlimen Tambun di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, Tambun pada Ahad malam.

Muhammad Kamil yakin, rakyat bijak untuk menilai dan meneliti apakah benar isu yang dibawa itu menyentuh permasalahan rakyat atau sekadar sentimen kebencian.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh bergerak ke hadapan selagi mana rakyat terus terpukau dan terpengaruh dengan agenda politik seumpama itu.

Dalam masa sama beliau berpendapat sistem penyampaian mengenai sebarang dasar serta langkah kerajaan harus diperbaiki dari semasa ke semasa.

Terdahulu, media melaporkan Pas menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.