IPOH: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Ipoh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun lalu, September tahun lalu.
Tertuduh, Airil Iswan Mat Shamsuri, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Bapa dua orang anak itu didakwa bagi maksud seksual telah menyentuh mangsa dengan cara memeluk, mencium mulut dan menyentuh kemaluan pelajar tersebut.
Dia turut didakwa mengulangi perbuatan sama, selain mencium kedua-dua belah pipi mangsa.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Gerbang Meru Indah, Ipoh, kira-kira jam 10.30 malam, 13 September tahun lalu dan pada awal pagi sebelum Suboh, 14 September lalu.
Tertuduh turut didakwa memeluk, mencium mulut dan kedua-dua pipi, menggigit leher serta menggosok kemaluan kanak-kanak tersebut di bilik warden asrama sekolah berkenaan pada awal pagi sebelum Subuh, 27 September 2024.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia yang telah berpindah ke sekolah lain awal tahun ini didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (AKTA 792) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan dilarang menganggu saksi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam Baldip Singh.