Guru al-Quran terima pengiktirafan MBOR, hasilkan lagu bacaan solat lengkap

Berita Perak

MBOR

IPOH: Seorang guru al-Quran berjaya menghasilkan lagu bacaan solat lengkap dari mula hingga akhir sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Lagu Bacaan Solat Komprehensif Pertama di negara ini.

Razman Abdul Aziz berkata, idea menghasilkan lagu itu tercetus sejak 2010 selepas menyedari ramai murid mampu menghafal bacaan solat, namun tidak memahami maksudnya.

Menurutnya, situasi itu jika dibiarkan berlarutan dikhuatiri menyebabkan kanak-kanak sehingga dewasa tidak mengetahui terjemahan bacaan solat, termasuk tahiyat.

“Saya lihat murid-murid ini solat tetapi terfikir mereka tak tahu makna bacaan dalam solat dan kalau dibiarkan sampai ke tua, kemungkinan mereka tak tahu makna.

“Contohnya makna bacaan tahiyat kalau kita tanya orang tua-tua pun, ada yang tak boleh terjemahkan secara terus.

“Jadi saya terfikir, bila mereka menyanyi, mereka boleh ingat secara spontan.

“Maka tercetuslah idea menghasilkan lagu al-Fatihah pada tahun 2010 sebagai permulaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan MBOR sempena Hari Penyampaian Hadiah dan Majlis Tamat Tahun 6 Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah di Dewan Terbuka Kompleks Pendidikan Al-Hidayah, di sini, hari ini.

Penyerahan sijil disempurnakan Pegawai Rasmi MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar kepada Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Al-Hidayah, Ayub Don dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Ipoh, Nor Hilmi Salimi Khoren sambil disaksikan Guru Besar Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah, Suriani Suratman.

Mengulas lanjut mengenai, Razman yang juga Guru Kanan al-Quran Sekolah Rendah Islam Al-Hidayah berkata, selepas lagu al-Fatihah, beliau mengembangkan idea itu secara berperingkat dengan menggubah lagu bagi setiap rukun solat.

“Prosesnya mengambil masa bertahun-tahun. Selepas al-Fatihah, saya hasilkan lagu rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

“Lagu tahiyat antara yang paling sukar, namun pada 2025, Allah beri ilham sehingga akhirnya semua bacaan solat dapat disempurnakan,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan lagu bacaan solat berdurasi kira-kira 12 hingga 13 minit bermula dari takbiratul ihram sehingga salam dan menjadi versi rasmi yang diiktiraf MBOR.

Katanya, bagi mengembangkan inovasi itu ke peringkat lebih luas, pihak sekolah menyertai International Conference Best Practice (ICBP) anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan berjaya memenangi anugerah persembahan serta pembentang terbaik.

Razman berkata, sebanyak lima lagu bacaan solat turut dirakam secara profesional dengan kerjasama seorang selebriti dakwah dan komposer, Huri Alias di sebuah studio rakaman di sini sekali gus menghasilkan sebuah album.

Menurutnya, lagu-lagu berkenaan kini digunakan dalam amali solat pelajar tahun satu hingga tiga setiap Selasa dan terbukti membantu hafazan serta kefahaman, dengan kira-kira 60 murid berjaya menguasai lagu tersebut secara konsisten.

“Rakaman amali solat melibatkan hampir 300 murid dan pegawai JAIPk yang memantau juga melihat perkembangan positif program ini.

“Niat saya hanya untuk dakwah dan pendidikan, bukan keuntungan. Soal komersial bergantung kepada perancangan pihak pentadbiran sekolah,” katanya yang telah berkhidmat sebagai pendidik di sekolah tersebut sejak tahun 1995.

Selain itu, beliau turut merancang memperluaskan ekosistem pendidikan berasaskan lagu menerusi tiga pendekatan baharu iaitu Senam Rabbani Didik Hibur, program pra-tidur untuk kanak-kanak serta konsep ‘Pandai Tiru’ bagi mencungkil penyertaan murid secara menyeluruh melalui kaedah cabaran dan peniruan.

Ends.