Guna dua nozel isi diesel bersubsidi, syarikat, stesen minyak berdepan tindakan

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan sebuah lori yang menggunakan dua nozel untuk mengisi diesel di sebuah stesen minyak di sini, malam tadi.

Seorang pemandu lelaki warga tempatan berumur 40-an tahun juga ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya turut menyita 1,137 liter cecair yang disyaki minyak diesel, lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pum dan wayar hose yang dianggarkan bernilai RM 22,085.55.

Menurutnya, operasi dilakukan kira-kira jam 9 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Temoh, Tapah.

“Operasi ini adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Cawangan Tapah selama satu minggu di sekitar Jalan Temoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, ditemui dua nozel sedang berada di tangki lori muatan satu tan.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus
operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak
diesel ke tangki asal lori yang telah diubahsuai dengan sambungan
paip terus ke tangki fiber yang disembunyikan di atas lori.

“Pengisian dianggarkan adalah sebanyak antara 1,000 hingga 1,500 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut,” ujarnya.

Kamalludin berkata, siasatan awal juga mendapati, pemandu lori
kemudiannya akan menjual minyak diesel ini kepada pasaran gelap
yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Tapah, Perak
pada harga yang lebih tinggi.

Tambahnya, diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 seliter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3.00 hingga RM4.00 per liter (mengikut harga pasaran minyak diesel industri).

Menurutnya, semakan awal juga mendapati syarikat pemilik lori itu tidak mempunyai apa-apa
kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan
Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang
banyak.

Di samping itu, katanya, stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah
peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA
Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat
dalam penyelewengan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan
Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.