IPOH: Gangguan perkhidmatan telefon bimbit yang berlaku di dalam Terowong Menora di kedua-dua arah yang berlaku sejak hampir setahun lalu, kini telah pulih.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, masalah yang berlaku berjaya diselesaikan oleh syarikat pengurusan menara telekomunikasi yang baharu.
Menurutnya, syarikat itu telah menggantikan peranti penguat isyarat atau repeater yang rosak di dalam terowong berkenaan dengan peranti baharu yang lebih berteknologi tinggi.
“Syarikat dahulu yang membekalkan repeater tersebut telah bangkrap, jadi dia tak dapat alat ganti dan sebagainya.
“Oleh itu (peranti) ini adalah jenama yang baru, berteknologi lebih tinggi dan bagus serta boleh menyampaikan isyarat berulang-ulang di dalam terowong,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi menara telekomunikasi di Terowong Menora, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Azlan, ujian kepantasan yang dibuat hari ini juga menunjukkan isyarat yang sangat baik.
“Saya dimaklumkan tadi dan ada dalam laporan ini, memang dalam terowong ni dah tak ada masalah lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengambil langkah untuk mengatasi masalah titik buta (blind spot) komunikasi di beberapa lokasi di sepanjang Lebuh Raya Utara – Selatan di negeri itu.
Menurutnya, antara titik buta yang dikenalpasti ialah di kawasan selepas Terowong Menora dan Gua Tempurung.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 30 menara telekomunikasi telah dipasang di perkampungan Orang Asli di seluruh negeri Perak.
“Memang betul ada sesetengah kampung masih mengalami masalah itu (perkhidmatan), cuma mungkin saya boleh sarankan lebih banyak program pencerahan di kawasan Orang Asli, itu lebih baik,” ujarnya.
Baru-baru ini, media melaporkab keterbatasan capaian jalur lebar di kebanyakan perkampungan Orang Asli antara cabaran penyampaian maklumat berhubung jawatan ditawarkan sektor awam kepada golongan berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata hanya terdapat anggaran kurang daripada satu peratus masyarakat Orang Asli di seluruh negara terlibat secara langsung dalam sektor awam.