TAPAH: Kawasan sekitar Bukit Bakong masih ditutup untuk sebarang aktiviti riadah ekoran gangguan harimau yang berlaku sejak lebih seminggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, antara kawasan yang terlibat ialah sekitar Chemor, Tanah Hitam dan Bukit Kinding.
Menurutnya, setakat ini, harimau berkenaan masih belum ditemui dan polis telah memaklumkannya kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Jadi sehingga dia (harimau) tidak dijumpai, kita masih lagi belum boleh membuka kawasan itu kepada orang ramai untuk kepentingan keselamatan semua,” katanya ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak Perhilitan telahpun berusaha mengerahkan anggota-anggotanya dan kepakaran yang ada untuk menjejaki harimau itu sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini.
Beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kampung
supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Noor Hisam berkata, beliau difahamkan pihak Perhilitan mengambil langkah memasang jerat dan umpam untuk menangkap harimau itu.
“Kita berharap jerat yang dipasang itu berjaya mengumpan harimau untuk keluar dan juga menangkapnya dan setakat ini, tak ada laporan baru atau kejadian tidak diingini yang melibatkan ternakan ataupun manusia sendiri.
“Jadi dia (harimau) masih lagi bersembunyi dan berlegar di hutan sekitar Bukit Bakong,” ujarnya.
Mengenai kemungkinan harimau itu
menarik kehadiran pemburu haram, Noor Hisam memberi amaran sesiapa yang tiada kebenaran memasuki kawasan itu akan ditahan oleh pihak polis dan Perhilitan yang sentiasa membuat pemantauan.
“Harimau ni aktif, tidak cedera jadi kawasan tu pun kita tutup jadi saya percayalah pemburu haram pun mungkin tak berani juga nak menghampiri kawasan tu dan kawalan dibuat oleh Perhilitan dan Balai Polis Tanah Hitam,” katanya.
Terdahulu polis mengesahkan kejadian serangan harimau yang menyebabkan dua lembu ternakan mati di Bukit Bangkong, Tanah Hitam di sini pada Jumaat.
Insiden itu dilaporkan seorang lelaki kira-kira jam 6.30 petang selepas mendapati dua lembu miliknya mati dengan kesan gigitan, manakala lima lagi dilaporkan hilang.





