Gagasan Rumah Bangsa kesinambungan titah perpaduan YDPA – AMK

Berita Perak

IPOH: Gagasan Rumah Bangsa adalah kesinambungan daripada titah Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan kerajaan perpaduan, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.

Sehubungan itu, kata Muhammad Kamil, AMK tiada sebarang masalah dengan gagasan itu yang dipelopori oleh UMNO.

“Gagasan ini telah lebih awal dikemukakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum daripada ini yang menyarankan bahawa kita dapat menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang merangkumi semua parti-parti politik yang ada dalam negara kita ini.

“Jadi saya fikir ini adalah mungkin lanjutan usaha, ya kita tidak ada masalah, halangan untuk kita berbincang ataupun bermusyawarah mengenai isu-isu dan juga hal-hal yang tertentu,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Santuni Wira Madani dan edaran juadah sahur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Hadir Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Mohd Zakuan Zakaria.

Muhammad Kamil berkata, dalam soal perpaduan, khususnya yang melibatkan orang Melayu dan bumiputera, parti-parti politik tidak pernah berpecah dalam isu yang melibatkan kepentingan mereka.

Bagaimanapun, ujarnya, dari sudut pendekatan mungkin berbeza kerana ada pihak yang gemar mengambil jalur yang keras.

Namun, ujarnya, ia perlu dikawal secara bijaksana, terutama isu-isu yang sensitif kerana Malaysia juga mempunyai pelbagai kaum dan etnik.

Malah, kata Muhammad Kamil, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menasihatkan agar mengambil pendekatan sederhana dan tidak membiarkan kelompok kecil mengambil kesempatan untuk memanaskan suhu hubungan kaum.

Pada program itu, beliau mengedarkan 400 pek makanan kepada anggota barisan hadapan termasuk anggota polis, bomba dan hospital.

Jelasnya, program itu yang diilhamkan Perdana Menteri turut diadakan di seluruh negara bagi menyantuni wira-wora negara sebagai penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan.