Fitnah, hasutan melampau, ABIM Perak buat laporan polis

Berita Perak

IPOH: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak membuat laporan polis susulan siri dakwaan fitnah dan tohmahan melampau yang didakwa dilakukan seorang pempengaruh media sosial melalui beberapa hantaran di platform digital sejak November lalu.

Setiausaha ABIM Perak, Muhammad Faiz Nasaruddin berkata, pihaknya memandang serius serangan berbentuk penghinaan, makian serta tuduhan tidak berasas yang dilemparkan individu tersebut termasuk dalam sebuah video di saluran YouTube bertajuk “Logo ABIM Terkait Dengan…” menggambarkan cubaan mengaitkan logo rasmi pertubuhan itu dengan imej ‘mata satu’ atau simbol Dajjal selain disertai kata-kata kesat.

Menurutnya, ABIM turut mengesan satu hantaran bertulis dimuat naik individu berkenaan pada 23 November lalu yang didakwa mengaitkan pertubuhan tersebut dengan fahaman menyeleweng selain menuduh pimpinan serta ahlinya sebagai puak syaitan dan dajjal serta menuduh ABIM memiliki kaitan dengan agenda Dalai Lama dan liberalisme songsang.

“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ini bukan sahaja bersifat fitnah malah mempunyai unsur hasutan yang jelas berniat jahat.

“Sehubungan itu satu laporan polis rasmi telah dibuat hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ABIM sentiasa terbuka terhadap kritikan membina, namun tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk naratif kebencian yang cuba menjatuhkan maruah organisasi menerusi penyebaran maklumat palsu.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan individu tersebut mengandungi elemen hasutan yang jelas bertujuan menjatuhkan reputasi ABIM sebagai sebuah gerakan dakwah sah, menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat serta memanipulasi sentimen agama secara tidak bertanggungjawab.

Justeru, pihaknya menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta menyeluruh di bawah peruntukan Akta SKMM, Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah jenayah.