TAIPING: Semangat ukhuwah dan nilai murni masyarakat Madani terpancar jelas melalui penganjuran Fiesta KAMBEST 2026 yang berlangsung meriah di Kampung Batu 8 Bendang Siam, hari ini.
Menurut kenyataan PUO, program itu merupakan inisiatif kolaborasi strategik antara Kolej Komuniti Shah Alam (KKSA), POLYCC Perak, dan Kolej Komuniti Bayan Baru.
Katanya, kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah ke lapangan telah memberikan impak yang sangat positif.



“Kehadiran beliau bukan sahaja sebagai tanda sokongan pengurusan tertinggi, malah sebagai simbolik komitmen berterusan JPPKK dalam memacu agenda pemerkasaan komuniti luar bandar melalui pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, lebih istimewa, program itu turut disambut mantan Ketua Pengarah JPPKK, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail,, yang kini berbakti sebagai Pengerusi Surau Kampung Bendang Siam.
“Kehadiran beliau di kampung kelahiran sendiri memperlihatkan kesinambungan kepimpinan dan nilai rendah diri seorang tokoh pendidikan yang terus berkhidmat kepada masyarakat setempat selepas persaraan,” ujarnya.
Sebagai tanda setiakawan dan sokongan tidak berbelah bahagi sesama institusi di bawah JPPKK, tambahnya, pasukan daripada Politeknik Ungku Omar (PUO) turut turun padang dengan membuka gerai jualan dan pameran.



Katanya, penglibatan aktif warga PUO dalam fiesta itu bukan sahaja bertujuan memeriahkan suasana, malah berfungsi sebagai platform interaksi terus antara warga politeknik tertua negara itu dengan penduduk kampung melalui perkongsian maklumat dan khidmat nasihat.
Antara pengisian utama Fiesta KAMBEST 2026 adalah:
⁃ Gerobok Rezeki: Inisiatif bantuan keperluan asas buat golongan yang memerlukan.
⁃ Memancing Amal: Aktiviti riadah yang bertujuan mengumpul dana sumbangan.
⁃ Pendidikan & Bakat: Pertandingan mewarna dan sukaneka bagi mencungkil potensi kanak-kanak.
⁃ Ekonomi Komuniti: Jualan usahawan daripada pelajar POLYCC bagi merancakkan ekonomi setempat.Menurut kenyataan itu lagi, program tersebut membuktikan bahawa institusi pendidikan seperti Politeknik dan Kolej Komuniti bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan kemahiran, malah sebagai pemangkin transformasi sosial yang rapat dengan hati rakyat.
Kerjasama antara KK Shah Alam, POLYCC Perak (melibatkan PUO), dan KK Bayan Baru ini diharap dapat menjadi model kepada program kemasyarakatan yang lebih inklusif pada masa hadapan.





