IPOH: Polis berjaya memberkas empat lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian kabel di Taman Ipoh Jaya Timur, di sini minggu lalu.
Kesemua suspek berusia 38 hingga 42 tahun itu ditahan dalam satu operasi di kawasan Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah semalam.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, polis Daerah Ipoh menerima maklumat daripada orang mengenai kejadian kecurian kabel pada Isnin minggu lalu.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut pihak polis telah cuba menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada dalam keadaan mencurigakan dan melarikan diri.
“Hebahan bantuan dilakukan dan beberapa kereta peronda PDRM telah ditugaskan untuk mengejar kenderaan suspek sehingga ke lebuh raya Utara-Selatan.
“Kenderaan suspek berjaya ditemui manakala suspek dipercayai empat lelaki warga tempatan berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Yusri berkata, siasatan djalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kabel) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Jelasnya, sepasukan polis dari Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh berjaya membuat tangkapan ke atas empat lelaki warga tempatan itu di Kedah semalam.
Katanya, pihak polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel.
“Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku terlibat dengan kes ini dan juga kes curi kabel di kawasan Ipoh.
“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis metahamphetamine,”katanya.
Katanya lagi, kesemua suspek direman bermula 27 Februari hingga 1 Mac bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Setelah siasatan kes ini selesai, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya.