Empat kru warga Indonesia, vesel nelayan ditahan jalan aktiviti perikanan secara haram

Berita Perak

KUALA KURAU: Empat kru warga Indonesia bersama-sama sebuah vesel nelayan asing (VNA) ditahan setelah dipercayai menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram di posisi 32 batu nautika barat Pantai Remis pada Sabtu.

Pengarah Zon Matirim Kuala Kurau, Kepten Maritim Mohd Hairil Othman berkata, penahanan itu dibuat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kurau pada 5.30 petang.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan empat kru warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua kru dan vesel ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Iaitu menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63, kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Vesel serta kru ditunda ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya malam tadi.

Beliau menambah, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menceroboh dan mengeksploitasi sumber perikanan negara.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana vesel asing yang didapati melanggar undang-undang perairan Malaysia.

“Kami juga menyeru komuniti maritim dan nelayan tempatan agar terus menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut,” katanya.

Tegasnya lagi, Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan pemantauan di perairan Perak, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi melibatkan pencerobohan nelayan asing.