LENGGONG: Empat buah kementerian akan mengadakan mesyuarat dua minggu lagi bagi membincangkan semua aspek yang berkaitan dengan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Empat kementerian itu ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES); Kementerian Ekonomi; Kementerian
Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat cadangan model perniagan NR-REE itu juga akan membincangkan mengenai cadangan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Dalam dua minggu lagi kita akan ada pertemuan dengan MITI, Kementerian Ekonomi dan MOSTI untuk kita lihat satu perbincangan model perniagaan dari huluan sehingga hiliran tentang soal perlombongan NR-REE.
“Kita akan bergerak mengikut kerangka Perlembagaan yang sedia ada tetapi itu tidak menghalang kita untuk misalnya cadangan mewujudkan GLC.
“Itu memang kita sedang tengok apa cara terbaik supaya kita dapat merancakkan pembangunan industri NR-REE sebab kalau nak dibiarkan kepada pasaran semata-mata mungkin dia tidak akan dapat pergi jauh kerana dia satu bidang yang agak ‘niche’ dan strategik.
“Ia memerlukan peranan daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga pihak industri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark Dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Taman Kota Tampan pada Sabtu yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong.
Menjawab kemungkinan GLC yang dicadangkan itu bertindih dengan GLC negeri, Nik Nazmi berkata, perkara itu akan dirujuk kepada
kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, masing-masing mempunyai bidang kuasa sendiri, misalnya kerajaan Persekutuan dari segi eksport dan nilai tambah dalam industri sementara soal mineral dan yang berkaitan, di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pada 4 Mac lalu, Ahli Parlimen Jurau, Datuk Larry Soon mencadangkan agar kerajaam menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan untuk meneroka industri berkaitan unsur nadir bumi di negara ini.
Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen itu berkata, GLC berkenaan boleh menjadi pengawal selia industri berkenaan, seperti Petronas yang mengawasi industri petroleum negara.