e-Tanah lonjak kutipan cukai lebih RM900 juta di Perak

Berita Perak

IPOH: Sistem e-Tanah yang diperkenalkan di Perak pada 2021 berjaya melonjakan kutipan cukai sehingga lebih RM913 juta tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada tahun pertama e-Tanah diperkenalkan jumlah hasil yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM643.9 juta.

Menurutnya jumlah hadil itu terus meningkat kepada RM699.8 juta tahun 2022, seterusnya RM822.5 juta pada tahun 2023.

“Alhamdulillah, pencapaian paling ketara direkodkan pada tahun lalu, apabila kutipan hasil terus melonjak kepada RM913.9 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Beliau berkata, angka-angka itu memberikan gambaran jelas bahawa transformasi digital melalui e-Tanah bukan sahaja berjaya meningkatkan kecekapan sistem pentadbiran tanah tetapi juga menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri secara menyeluruh.

Selain itu, katanya, transformasi pendigitalan dalam pentadbiran tanah bukan sahaja memberikan kemudahan kepada rakyat dalam urusan harian tetapi juga memainkan peranan besar dalam mencapai matlamat strategik.

“Dengan adanya sistem yang moden dan inovatif, proses seperti pendaftaran dan pemindahan hak milik dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan mudah,” ujarnya.

Dalam masa sama, kata beliau, kepercayaan pelabur, khususnya pelabur antarabangsa dapat dipertingkatkan dan dipenuhi kerana mereka menuntut jaminan dalam pengurusan serta pentadbiran yang sistematik dan boleh dipercayai.

“Pendigitalan juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri, membuka ruang kepada peluang pekerjaan baharu serta menarik lebih banyak pelaburan dinamik yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi.

“Pendigitalan juga memberikan sumbangan besar kepada pembangunan mampan, menjadikan Perak sebagai model negeri yang berjaya memanfaatkan teknologi untuk kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Pada majlis itu, Saarani turut melancarkan Sistem e-TAPS (e-Technical Approval Processing System) untuk mempercepatkan proses ulasan teknikal tanah yang sebelum ini memakan masa panjang.

Katanya, dengan e-TAPS, semua ulasan teknikal dapat dilakukan secara digital dan sistematik, bukan sahaja mempercepatkan masa pemprosesan bahkan dapat mengurangkan percetakan dan penghantaran manual.

“Dengan sistem ini, ulasan teknikal oleh agensi-agensi dapat diselesaikan dengan lebih cepat, memudahkan kelulusan projek pembangunan dan mengurangkan karenah birokrasi serta membudaya proses kerja yang lebih produktif,” jelasnya.