Durian Batu Kurau, Bukit Gantang ada potensi besar tembus pasaran luar negara

Berita Perak

TAIPING: Keunikan durian Kampung Perak, Bukit Gantang dan Batu Kurau mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran luar negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, oleh itu banyak usaha digembleng bagi mempromosi raja buah itu.

“Saya berkesempatan merasmikan Pesta Durian dan Hari Ladang Daerah Larut Matang dan Selama.

“Program ini bertujuan mempromosi pertanian selari dengan Program Perak Sejahtera 2030 yang digerakkan Menteri Besar Perak bagi sekuriti makanan di Perak.

“Acara ini juga memberi fokus kepada promosi Durian Kampung Perak, terutama Durian Bukit Gantang dan Batu Kurau, dengan peluang besar untuk memasuki pasaran luar negara,” katanya.

Justeru, katanya, langkah seperti penandatanganan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China menunjukkan komitmen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memperluas pasaran eksport.

“Saya yakin dengan kerjasama erat antara Jabatan Pertanian, industri, dan pihak terkait, kita dapat berperanan aktif dalam mewujudkan agenda utama kerajaan, khususnya di Perak.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Pegawai Operasi yang mewakili SADC Kahar Mokhtaruddin atas sokongan dan penajaan terhadap Pesta Durian dan Sambutan Hari Ladang Daerah Larut Matang dan Selama.

“Semoga acara ini sukses dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat setempat,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program berkenaan, Pegawai Daerah Larut Matang Dan Selama, Nasrul Menhat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman, Ketua Pegawai Operasi SADC Kahar Mokhtarudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim.