SLIM RIVER: Dua lelaki warga emas maut, manakala lima lagi, termasuk empat warganegara Sri Lanka cedera dalam nahas yang melibatkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Jalan Kampung Kuala Slim, di sini, malam ini.
Kedua-dua lelaki warga emas berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 8.19 malam.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga bertembung dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux.
“Kemalangan menyebabkan pemandu dan penumpang kereta Proton Saga disahkan maut dilokasi kejadian oleh pihak KKM,” katanya di sini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux berumur 30 tahun bersama empat penumpang warga Sri Lanka yang belum diketahui umur, mengalami kecederaan ringan tetapi tidak tersepit.
Menurut Sabarodzi, ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia.
Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (TBK) Suhaimi Sanip tamat jam 8.51 malam.



