Dua rakan didakwa edar dadah 51.5 kilogram

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Jumaat atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 51.5 kilogram.

Tertuduh Mohamad Faez Abdul Halim, 33 tahun, dan rakannya, Shahrul Izhar Takhirul Anuar, 31 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Faez yang berkerja sebagai operator kilang dan Shahrul Izhar yang juga jurudawai elektrik itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah bangunan kedai di Persiaran Bougainville Utama dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 4.10 petang, 16 Mac 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala hanya Shahrul Izhar diwakili peguam, Hennie Soraya Hanafi.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki ditahan bersama 51.5 kg dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai 2.57 juta ringgit dalam serbuan di Kuala Kangsar pada Sabtu lalu.

Kedua-dua suspek itu dipercayai bertindak sebagai transporter dengan masing-masing memperoleh upah antara RM500 dan RM50,000.