Dua maut, dua cedera nahas lori telur rempuh treler di lebuh raya

Berita Perak

TANJUNG MALIM: Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera apabila lori muatan telur yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler yang parkir di tepi jalan di kilometer (km) 372.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dua mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 20-an didapati tercampak keluar dari lori tersebut.

Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah hari.

Katanya lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River bergegas ke lokasi kejadian.

“Berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan telur ayam yang dinaiki empat orang iaitu seorang pemandu dan tiga kelindan.

“Lori itu merempuh bahagian belakang sebuah treler membawa muatan simen kampit yang parkir di tepi jalan.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat dua mangsa lelaki masing-masing berusia 40 dan 30-an cedera ringan.

“Manakala dua lagi lelaki telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang hadir,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata, bomba kemudiannya memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, dua mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.