Dua lelaki menyamar pegawai Imigresen lakukan samun direman tiga hari

Berita Perak

IPOH: Dua lelaki warga tempatan yang menyamar sebagai pegawai Imigresen dan dipercayai terlibat dalam kes samun di sekitar bandar raya Ipoh direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 1 Mac bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua suspek masing-masing berusia 25 dan 26 tahun ditahan sekitar jam 4.30 pagi semalam.

Menurutnya, mereka ditahan kira-kira jam 4.30 pagi di Ipoh dan Gerik oleh sepasukan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Sebelum ini, kita menerima lima laporan polis mengenai kejadian samun melibatkan dua lelaki yang menyamar sebagai Pegawai Imigresen sejak 23 hingga 26 Februari lalu dengan melibatkan kerugian wang tunai dan harta benda sebanyak RM6,000.

“Lanjutan daripada tindakan pantas, pihak polis telah mengadakan operasi khas dan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes-kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, polis turut merampas beberapa barang kes termasuklah kenderaan yang digunakan oleh suspek.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek berumur 25 tahun mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan empat rekod melibatkan kesalahan dadah manakala suspek berusia 26 tahun mempunyai dua rekod kesalahan dadah,” ujarnya.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, dipercayai sekurang-kurangnya lima kes samun menyamar pegawai Imigresen yang dilaporkan di Bandaraya Ipoh telah dapat diselesaikan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.