Dua beranak maut nahas babit 3 kenderaan

Berita Perak

IPOH: Dua termasuk seorang bayi perempuan maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Kangsar, dekat Klebang Restu di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, pihaknya menarima laporan berhubung kemalangan itu pada 7.21 pagi tadi.

Katanya, tiga kenderaan itu membabitkan kereta jenis Proton Saga, Mercedes dan Perodua Alza.

“Kemalangan ini dipercayai berpunca daripada
kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan telah keluar simpang untuk melintas
jalan.

“Lalu kereta itu dirempuh Mercedes yang datang dari arah Sungai Siput menghala ke Ipoh.

“Kemalangan telah mengakibatkan Proton Saga tersebut terbabas sehingga merempuh sebuah lagi kereta jenis Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan dari arah jalan Klebang Restu,” katanya pada Sabtu.

Yahaya berkata, susulan itu, seorang pemandu
Proton Saga berusia lingkungan 20-an meninggal
dunia di tempat kejadian.

Manakala penumpang yang merupakan anak perempuannya berusia 11 bulan cedera parah dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HRPB untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Jelasnya, siasatan masih diteruskan dan pihaknya turut meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhamad Shahrul
Rizwan Wan Ali, di talian 013-6218531 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.