DPPM Perak sumbang 400 apron kepada peniaga bazar Ramadan

Berita Perak

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menyumbangkan 400 helai apron kepada peniaga bazar Ramadan di sekitar Ipoh.

Peniaga tersebut merupakan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta dan Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) yang merupakan ahli gabungan DPPM Perak.

Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Whip Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahmah kepada Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta, Zahari Abdul Murad dan Pengerusi PUBI, Shahrul Bahar Rahman. Hadir sama Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tajudin serta barisan ahli exconya.

Mazlan berkata, usaha itu sangat baik yang mewujudkan kolaborasi
yang baik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdapat di Ipoh.

Menurutnya, kolaborasi itu boleh digembeling untuk membantu peniaga-peniaga di Ipoh, khususya penjaja dan peniaga kecil.

“Saya harap NGO-NGO ini akan fokus dan istiqamah dalam membantu peniaga, termasuk di bazar Ramadan.

“Dalam masa sama, saya juga berharap agar dalam tempoh ini, mereka dapat menambah pendapatan,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan itu di Bangunan MBI di sini.

Beliau menasihatkan persatuan-persatuan peniaga agar dapat menjaga ahli-ahli mereka supaya berniaga dengan baik dan mengelakkan sebarang sengketa sehingga tular.

Menurutnya, sengketa yang berlaku seperti pergaduhan yang melibatkan mereka akan akan menimbulkan persepsi negatif.

Beliau berkata, MBI juga akan sentiasa membantu peniaga dan sedia berbincang untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya terdapat masalah.

Sementara itu, Amirudin berkata sumbangan apron itu antara lain untuk menunjukkan DPPM Perak bersama-sama dengan MBI yang sentiasa menekankan kepada kebersihan.

“Dalam konteks bazar Ramadan, bukan sahaja kebersihan diri dan makanan, malah juga kebersihan gerai atau tempat jualan.

“Lebih-lebih lagi, tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia 2026, kita mahu pengunjung, termasuk dari luar kagum dengan tahap kebersihan kita,” ujarnya.