IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak berpendapat peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai langkah bersasar oleh kerajaan yang tidak membebankan majoriti rakyat.
Yang Dipertuanya, Amirudin Tajudin berpendapat, sebaliknya ia tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, pelaksanaan itu hanya melibatkan sektor tertentu dan memberi impak kepada golongan berkenaan, tanpa memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Secara asasnya kita menyokong perkara yang telah pun diumumkan oleh kerajaan cuma ia melibatkan sektor-sektor yang tertentu sahaja.
“Contohnya, sekolah antarabangsa yang melibatkan golongan T20 jadi kerajaan mengenakan SST itu tepat kepada sasaran, mereka-mereka yang berkemampuan.
“Ini adalah pendekatan tepat kerajaan kerana cukai tersebut hanya dikenakan kepada pihak yang benar-benar mampu, tanpa melibatkan mereka dari golongan M40 dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 DPPM Perak yang dirasmikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Hotel Casuarina @ Meru, di sini, hari ini.
Bermula 1 Julai ini, kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat dan kadar CJ sebanyak lima peratus atau 10 peratus dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.
Skop CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.







