TAPAH: Kadar dividen 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus syariah yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah antara yang tertinggi dan amat baik setakat ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan jurang perbezaan kadar dividen antara kedua-dua simpanan itu dapat dikurangkan kepada hanya 0.1 peratus, berbanding 0.6 peratus tahun 2022.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus membuat simpanan yang mencukupi untuk hari persaraan mereka.
“Malaysia ni adalah satu kerajaan yang menua, simpanan dalam KWSP dan macam-macam simpanan untuk pesaraan adalah satu benda yang penting yang kita kena menyimpan cukup untuk masa kita nak bersara.
“Jadi kalau kita tengok dari segi KWSP, lebih lama dia simpan lebih banyak ‘compounding effect’ akan ada, lebih cukup simpanan untuk semua ahli,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasaraya di sini, hari ini.
Terdahulu, KWSP dalam kenyataan mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion, manakala dividen 5.40 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
Jumlah membawa kepada keseluruhan agihan pendapatan bagi 2023 sebanyak RM57.81 bilion.
Pembayaran dividen itu menandakan peningkatan yang ketara dari 2022, yang mana kadar dividen berada pada 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Syariah.
Justeru, Amir Hamzah beliau berharap ahli-ahli KWSP akan berasa seronok dengan dividen yang diumumkan itu.


