Dayang Nurfaizah, Hael Husaini buat persembahan di majlis makan malam amal KBGK

Berita Perak

IPOH: Dua penyanyi sensasi, Dayang Norfaizah dan Hael Husaini akan membuat persembahan pada majlis makan malam amal anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK), April depan.

Pengerusi majlis itu, Norali Nordin berkata, majlis makan malam amal bersama kedua-dua penyanyi tersebut dijadualkan di Hotel Casuarina @ Meru, pada 21 April 2024.

Beliau yang juga Setiausaha KBGK berkata, tujuan majlis itu diadakan adalah untuk mengumpulkan dana kelab bagi melaksanakan aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

“Sejak kebelakangan ini, kelab telah dihujani dengan permintaan, sama ada daripada individu atau badan-badan kebajikan seperti orang kurang upaya, rumah anak yatim dan rumah orang tua yang memerlukan bantuan.

“Sehubungan itu, kelab merasakan sudah tiba masanya kami menganjurkan kembali majlis makan malam amal, seperti yang pernah dianjurkan dahulu,” katanya pada sidang media di Hotel Casuarina @ Meru di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden KBGK, Hamzah Hamdan dan barisan kepimpinannya.

Norali berkata, untuk majlis makan malam tahun ini, KBGK akan memilih 10 buah badan kebajikan atau badan bukan kerajaan (NGO) masing-masing lima NGO Melayu, Cina (3) dan Indian (2) sebagai penerima.

Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dijadual untuk menyampaikan sumbangan, dengan disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Kami amat mengalu-alukan syarikat korporat, syarikat serta agensi kerajaan negeri serta individu untuk menaja meja bagi menjayakan majlis makan malam ini dan semua tajaan akan dikecualikan daripada cukai,” ujarnya.

Norali memberitahu, setiap meja dijual pada harga RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 di samping RM300 untuk individu yang ingin membeli satu kerusi.

Beliau berkata, pihaknya yakin dapat mengutip sumbangan sekitar RM580,000, seperti yang pernah diperolehi ketika persembahan Yuna pada 2015 dan Datuk Jamal Abdillah pada 2017.

Menurutnya, kedua-dua penyanyi sensasi itu masing-masing akan menyanyikan lima buah lagu, di samping sebuah lagu duet.