Cuepacs rayu kerajaan lulus Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri

Berita Perak

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu agar kerajaan memberi bantuan khas kewangan kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri bulan depan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meneruskan tradisi pemberian bantuan khas kewangan Aidilfitri yang dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.

“Kerajaan belum mengumumkan dan kami merayu supaya kerajaan mengumumkan dalam waktu yang terdekat ini kerana keluh kesah peniaga di luar sana apabila penjawat awam kurang upaya untuk membeli.

“Dengan ada bantuan khas Aidilfitri ini sekurang-kurangnya bukan untuk penjawat awam tetapi untuk mereka yang berada di luar sana mereka, berada di bazar Ramadan yang timbul setiap sebulan dalam setahun ini, mereka juga memerlukan pembeli-pembeli yang mampu membeli barangan mereka,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis penyampaian bubur lambuk anjuran Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani Dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Raya sebanyak RM1,000 dan Pulau Pinang sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 kepada penjawat awam di kedua-dua negeri itu sempena Aidilfitri.

Sehubungan itu, Adnan merayu semua kerajaan negeri lain supaya memberi pertimbangan yang sama seperti kedua-dua negeri itu, bagi meringankan bebanan penjawat awam.