SUNGAI SIPUT: Fenomena panas melampau yang melanda negara sejak Januari telah menyakibatkan hampir 2,000 nelayan di Perak terjejas atau hilang pendapatan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, bancian Jabatan Perikanan juga mendapati pendaratan ikan air tawar di Perak berkurangan antara 40 hingga 50 peratus.
Menurutnya, setakat ini terdapat 1,439 nelayan darat berlesen yang kebanyakannya mencari rezeki di sepanjang jajaran Sungai Perak dari Daerah Hulu Perak sehingga ke Bagan Datuk.


“Ada sebahagiannya hilang pendapatan kerana bergantung semata-mata mencari ikan guna pukat, bot pula tidak boleh lalu lagi di perairan Sungai Perak.
“Selain menjejaskan pendapatan, ia juga menjejaskan pendaratan ikan daripada hasil tangkapan mereka untuk negeri Perak,” katanya.
Ditemui selepas menyampaikan bantuan kotak makanan kepada 59 nelayan darat kawasan Lintang di Pusat Ikan Hiasan Enggor, di sini, hari ini, beliau berkata, pihaknya akan berusaha untuk memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia untuk menambah kuota bantuan.
Menurut Mohd Zolkafly, setakat ini hanya sebahagian sahaja nelayan darat berlesen di Perak yang menerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) berjumlah RM250 sebulan.










