IPOH: Selain telefon pintar, komputer riba juga penting bagi para pelajar menyiapkan tugasan yang diberikan, khususnya di universiti.
Mahu atau tidak, ia sudah menjadi satu keperluan dan tuntutan ketika ini, selain menjadi sumber untuk mencari maklumat penting.
Menyedari hakikat itu, sebuah syarikat logistik Centre Side Express Sdn Bhd mengerakkan bantuan kepada golongan sasaran dan memerlukan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lal Ravindrarajuloo Naidu, pihaknya sudah menyumbang lebih 30 buah komputer riba kepada pelajar yang memerlukan.
“Saya menggesa pemilik perniagaan lain untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program sumbangan CSR Centre Side Express Sdn Bhd di Pejabat Persatuan Pembangunan dan Prihatin Masyarakat Perak, di sini baru-baru ini.
Hadir sama Presiden Persatuan Pembangunan dan Prihatin Masyarakat Perak, Pathma Devi.
Sementara itu, ibu bapa yang hadir dalam program tersebut dapat menarik nafas lega kerana telah meringankan beban mereka.
Di samping memberi manfaat kepada anak-anak mereka yang tiada gajet berkenaan untuk melunaskan tugasan yang diberikan.
M Gaani, 55, berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu serta lima bulan tidak bekerja menyebabkan keperluan anak yang sedang belajar di sebuah universiti di Melaka tidak mampu dipenuhi.
“Komputer riba anak saya rosak namun disebabkan kekangan kewangan, terpaksa meminjam daripada rakan-rakan sekuliah untuk menyiapkan tugasan.
“Mujur ada pihak yang sudi membantu memberikan komputer riba percuma kepada anak saya, saya rasa sangat bersyukur,” katanya.
SD Sanjanaa Sri, 21, pula berkata, dia sangat menghargai sumbangan komputer riba itu.
Pelajar tahun pertama Politeknik Ungku Omar itu meluah rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan berkenaan memandangkan hanya ibunya bekerja menanggung keluarga.
“Saya bertekad untuk mendapatkan keputusan cemerlang dan balas semula jasa mereka yang membantu saya,” katanya.
Sehubungan itu, Lal Ravindrarajuloo berkata, inisiatif seumpama itu akan diteruskan untuk tahun mendatang kepada golongan sasaran tanpa mengira bangsa.





