CCTV AI pantau hot spot sampah haram di DUN Simpang Pulai

Berita Perak

IPOH: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai mengambil inisiatif memasang kamera litar tertutup CCTV) yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memantau lokasi hot spot pembuangan sampah haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata, sebagai permulaan lima CCTV telah di pasang sejak pertengahan Disember lalu di lima lokasi dengan kos keseluruhannya RM50,000.

Menurutnya, lokasi-lokasi itu ialah Pasar Awam Gunung Rapat, Persiaran Halaman Ampang, Persiaran Wira Jaya Timur 50, Jalan Desa Ampang 25 dan Jalan Harilela A1.

“CCTV ini bukan yang biasa, kita pasang yang berteknologi AI yang boleh ‘zoom in’ untuk kita nampak dengan lebih jelas termasuk nombor plat (kenderaan), tak kira hujan, siang atau malam,” katanya pada sidang media selepas menu operasi CCTV di Pasar Gunung Rapat, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing dan Ahli Majlis Zon Rapat Setia, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Chung Cum Kam Cheong.

Chai Yi berkata, CCTV itu dipantau melalui telefon bimbit Ahli Majlis serta Pusat Khidmat DUN, sebelum dipanjangkan ke bahagian penguatkuasa MBI untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkam pemasangan lima CCTV sejak Disember, ia telah berjaya mengurangkan kira-kira 90 peratus longgokan sampah haram di lokasi-lokasi yang berkenaan.

“Nampaklah sangat drastik kita berjaya kurangkan masalah sampah haram dan kita juga ada menerima permohonan baru dari tempat-tempat lain,” ujarnya.

Sementara itu, Kar Hing berkata, pemasangan CCTV itu bukanlah untuk menghukum, sebaliknya untuk mendidik orang ramai supaya membuang sampah di tempat yang disediakan.

“Sedih kita lihat kesedaran orang ramai masih lagi kurang memuaskan, ada tong (sampah) tapi kosong, sampahnya berlonggok di tepi.

“Itu yang menyebabkan kita terpaksa menggunakan dana memasang CCTV ini, kita bukan berniat untuk menghukum pesalah tetapi untuk mencegah dan juga menyuburkan kesedaran di kalangan penduduk,” katanya.