IPOH: Sekurang-kurangnya 1,000 pengunjung terdiri daripada pelajar, alumni dan pencari kerja di sekitar Bandar Raya Ipoh menghadiri program Career Connect @ Politeknik Ungku Omar (PUO) 2024, hari ini.
Menurut kenyataan PUO, program itu melibatkan 16 buah syarikat dari pelbagai industri yang menawarkan lebih 200 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri.
Menurutnya, Career Connect @ PUO 2024 memberi manfaat yang besar kepada para pelajar dan pencari kerja yang akhirnya diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui peningkatan kebolehpasaran dan pembinaan modal insan yang berkualiti.
“Para pelajar dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi menerusi sesi temu duga yang dilaksanakan dan menjadi medan persediaan dalam menghadapi temu duga setelah bergraduasi kelak.
“Pihak industri juga berpeluang mengenal pasti calon yang berpotensi dan seterusnya mengukuhkan jaringan kerjasama positif antara rakan industri dan Politeknik Ungku Omar,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurutnya, antara pengisian aktiviti sepanjang Career Connect @ PUO 2024 ialah Seminar TVET, sesi perkongsian industri dan temu duga penempatan latihan industri dan pekerjaan menjadi tumpuan utama para pengunjung.
Tambahnya, antara rakan industri yang terlibat dalam Career Connect @ PUO 2024 adalah Tetra Pak (M) Sdn. Bhd., Kamaya Electric (M) Sdn. Bhd., Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn. Bhd, Genting Malaysia Berhad, Hovid Berhad, Azam Achievers Management, Team Some Sdn. Bhd, PwC Malaysia.
Ashvertising Marketing Sdn. Bhd, Edenor Technology Sdn. Bhd., Unisem (M) Bhd., Wei Dat Steel Wire Sdn. Bhd., Sigma Rectrix Systems (M) Sdn. Bhd., Favotech System Sdn. Bhd., dan Carsem (M) Sdn. Bhd.
Dalam masa yang sama, ujarnya, PUO turut menandatangani surat niat (LOI) bersama-sama tujuh buah syarikat / organisasi iaitu Asia Global Field Sdn Bhd, Mr Fix It Engineering Services, Kompleks Pendidikan Baitul Dhiya’, Buminakhyar Resources, Malaysian Institute of Technology Academy, PMG Venture Capital Sdn Bhd dan PROFIMA.
LOI itu sekaligus bakal menyaksikan kerjasama dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan serta latihan.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Pengarah (Akademik) PUO, Ts. Dr. Izwah Ismail dan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Dr. Mohd Azam Mohd Dali.