IPOH: Cakna dengan keperluan para pelajar kini yang banyak didedahkan dengan pembelajaran dalam talian membuatkan syarikat World A Two Z Global Sdn Bhd tampil meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebanyak 10 buah komputer riba disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kerajaan di sini.
Program sedemikian bukanlah perkara baharu kerana sudah dua tahun syarikat berkenaan komited untuk membantu golongan yang memerlukan.
Bukan sahaja penting dalam pengunaan teknologi terkini, para pelajar dalam golongan B40 juga boleh meningkatkan prestasi dalam pendidikan yang menjurus kepada dalam talian.
Menurut Pengawai Pentadbir World A Two Z Global Sdn Bhd, B Jayanthi, syarikat berkenaan sentiasa prihatin dengan keperluan masyarakat khususnya mereka yang terdiri daripada golongan B40 serta pendidikan untuk pelajar sekolah.
“Keuntungan yang diperolehi syarikat dipulangkan semula kepada masyarakat melalui program CSR yang diadakan sejak dua tahun lalu.
“Tahun ini kami memulakan program CSR dengan menyampaikan sumbangan 10 komputer riba kepada SJKT Kerajaan.
“Kami memilih untuk menyampaikan sumbangan komputer riba bagi memudahkan pelajar meningkatkan prestasi dalam pelajaran atas talian serta mereka tidak akan ketinggalan di belakang bagi penggunaan teknologi terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Komersial Jelapang, di sini pada Ahad.
Tambahnya, pihaknya turut memberi bantuan seperti barangan keperluan asas dan wang tunai untuk keluarga B40 yang memerlukan.
“Kami berharap dapat terus berkongsi rezeki kepada semua golongan yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SJKT Kerajaan, R Jeyaseelan berkata, pemberian komputer riba itu memberi banyak manfaat bagi tujuan pengajaran serta pembelajaran.
“Sumbangan yang diberikan ini tepat pada masanya kerana dalam situasi sekarang kami ingin meningkatkan kecemerlangan akademik dan banyak memerlukan komputer riba.
“Jutaan terima kasih di atas pemberian komputer riba ini dan berharap syarikat lain dapat tampil menyalurkan sumbangan yang sesuai untuk kegunaan murid di sekolah,” katanya.





