Cadangan had tempoh PM bukti komitmen kerajaan – AMK

Berita Perak

IPOH: Cadangan untuk menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun disifatkan sebagai komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya politik baharu dan memantapkan amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, cadangan itu juga konsisten dengan manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah lama diperjuangkan.

Menurutnya, PKR telah memperjuangkan isu itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1999.

“Alhamdulillah hari ini kita telah menunjukkan satu lagi komitmen kita untuk mengangkat satu lagi budaya politik yang baru, amalan demokrasi yang dianggap cukup penting kerana dalam negara yang mengamalkan sistem Westminster itu tak ramai.

“Saya fikir mungkin Malaysia merupakan negara yang pertama yang melaksanakan, kalau kita lakukan ini maksudnya kita adalah negara pertama yang mengamalkan sistem Westminster yang menghadkan penggal perkhidmatan Perdana Menteri itu pada dua penggal ataupun maksimum 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di Pasaraya Borong Sakan di Pusat Perdagangan Klebang di Chemor, Ipoh pada Rabu.

Mengulas lanjut, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata, meskipun terdapat pro dan kontra dalam pelaksanaan cadangan tersebut, ia tidak harus menyekat usaha untuk meneroka perubahan politik yang baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai pembentangan rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri itu, ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, pada Isnin.

Cadangan tersebut merupakan antara beberapa inisiatif reformasi institusi yang akan dibawa ke sesi Parlimen akan datang.

Mengulas ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan, Muhammad Kamil berkata, AMK menyambut baik ketegasan itu.

Menurutnya, di sebalik pelbagai tekanan dan provokasi agar UMNO meninggalkan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri itu lebih mengutamakan kepentingan negara, berbanding kepentingan lain, termasuk parti sendiri.

“Datuk Seri Zahid ni dia seorang yang faham tentang keperluan kita untuk mengekalkan ataupun terus mengukuh kestabilan politik dalam negara kita.

“Tidak seperti kepimpinan sebahagian kecil pimpinan-pimpinan lain yang bercakap dengan emosi dan tidak berfikir dengan waras dan panjang ke hadapan memikirkan yang meletakkan kepentingan negara itu di hadapan melebihi kepentingan diri sendiri dan juga parti sendiri,” ujarnya.

Sambil mengucapkan terima kasih, Muhammad Kamil berkata, untuk menjadi pemimpin yang baik, kepentingan negara mesti diletakkan sebagai keutamaan, berbanding dengan hal-hal yang lain.

Pada Selasa, Ahmad Zahid
menegaskan pendirian menolak sebarang amalan ‘tebuk atap’ yang boleh menyebabkan kejatuhan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kekal komited bersama kerajaan sedia ada sehingga tamat penggal.

Menurutnya, pendirian itu selari dengan prinsip parti yang sejak awal tidak pernah menyokong sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara.