IPOH: Jika di Kuala Lumpur, setiap kali Ramadan tiba, bubur lambuk Masjid Kampung Baru menjadi tumpuan, tetapi di Ipoh, bubur lambuk Masjid India Muslim adalah antara yang dicari.
Bubur lambuk Masjid India Muslim juga yang terkenal sebagai juadah warisan masyarakat Islam bukan sahaja enak, malah mudah dihadam selepas seharian berpuasa.
Menurut Pengerusi Masjid, Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff bubur lambuk dimasak secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang.
“Ini kita ikut tradisi lamalah kat sini, kita tak ada bungkus-bungkus, kita bagi dengan tupperware lah. Kita bagi.. masing-masing akan membawa bekas daripada rumah dan kita akan isi dalam tu. Berapa banyak yang dia orang nak, kita akan isi lah.
“Dalam sehari kita buat dalam 70 hingga 80 kilogram. Bubur lambuk ni, kita buat dalam dua variasi, satu bubuh kacang apa semua dan sehari lagi pula kita buat kekacang dua juga daging kambing,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Shaik Mujibur Rahman, mereka akan mula membuat bubur lambuk seawal jam 7.30 pagi secara gotong royong dan siap sekitar jam 12 tengahari.


Bagaimanapun, ujarnya, pengagihan hanya akan bermula jam 4.30 petang sehingga habis.
Beliau berkata, dan sekitar 800 orang datang untuk mengambil bubur lambuk setiap hari, termasuk mereka yang bukan beragama Islam
Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh, Norhilmi Salimi Khoiren yang turut menyertai gotong royong mengakui bubur lambuk Masjid India Muslim adalah antara yang popular di Ipoh.
“Saya dimaklumkan bubur lambuk Masjid India Ipoh ni telah berjalan dan berusia sekitar seratus tahun lebih.
“Masjid inji sendiri pun telah dibina pada tahun 1908 dan sekitar itu lah sehingga hari ini telah berlaku ataupun telah dilaksanakan agihan bubur lambuk di mana bermulanya bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berharap, bubur lambuk Masjid India Ipoh akan menambahkan lagi kemeriahan sambutan Ramadan tahun ini dan tahun-tahun akan datang.





