Bomba selamatkan kanak-kanak perempuan terkunci dalam kereta

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun berjaya diselamatkan setelah terkunci dalam kereta berdekatan Sekolah Kebangsaan Setia Jaya, Enggor di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 pagi.

“Jentera bomba tiba di lokasi jam 9.11 pagi dan mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 6 bulan terperangkap dalam kereta jenis Perodua Axia.

“Bomba kemudiannya memakai pakaian lengkap dan membuka kereta tersebut dengan peralatan khas.

“Mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ibunya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.