TELUK INTAN: Pasukan bomba membantu memindahkan seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) bersama-sama ibunya susulan banjir yang melanda di Kampung Melayu, Langkap di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, terdapat empat buah rumah yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan itu sekitar jam 9.36 malam.
“Paras air dianggarkan setinggi 0.1 meter. Semasa operasi pemantauan sedang dijalankan, terdapat sebuah keluarga memohon bantuan untuk dipindahkan berikutan keadaan air yang memasuki rumah mereka.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan serta Ketua Kampung memindahkan mangsa iaitu seorang remaja lelaki OKU bersama ibunya ke Dewan Arena Kampung Attaduri, Langkap.
“Dua beranak itu dihantar ke situ menggunakan jentera EMRS, setelah itu anggota bomba melakukan pemantauan di lokasi dan mendapati air mulai surut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.





