IPOH: Laluan menuju Terowong Menora dari arah utara dan selatan ditutup hampir satu jam hari ini bagi memberi laluan kepada proses pemusnahan bom lama yang ditemukan di kawasan belukar di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan.
Plus Malaysia Berhad (PLUS) menerusi aplikasi X memaklumkan, penutupan sementara laluan Kuala Kangsar-Ipoh bagi kedua-dua arah itu dijalankan bagi tujuan keselamatan.
Menurut PLUS, trafik arah utara dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Selatan manakala trafik arah selatan dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar.
“Penutupan bermula pukul 3.02 petang sebelum semua lorong menuju ke utara dibuka 15 minit kemudian.
“Trafik ke Selatan masih dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar bagi kerja-kerja kecemasan sebelum ia dibuka kepada pengguna jalan raya pada pukul 3.44 petang,” katanya.
Difahamkan, kerja-kerja memusnahkan bom itu dilakukan oleh pihak berkuasa di tempat kejadian dengan radius letupan sejauh 200 meter.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin ketika dihubungi berkata, bom lama jenis mortar 81 mm itu ditemukan seorang penyelia pembersihan kira-kira jam 9.30 pagi.
Menurutnya, bom tersebut dijumpai ketika seorang lelaki berusia 51 tahun sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.
“Ketika sedang membersihkan pokok-pokok dan rumput di kawasan tersebut, lelaki itu telah menjumpai sebutir bom.
“Pengadu kemudian menghubungi peronda PLUS dan polis untuk tindakan lanjut.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak diatur gerak ke lokasi untuk pemeriksaan,” ujarnya.