Bilangan penghuni meningkat saban tahun, Pekita perlu bangunan baharu

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri diminta memberi keutamaan dan menyegerakan proses guna tanah yang diluluskan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan bina bangunan rumah kebajikan orang-orang tua.

Menurut Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad, kelulusan tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di Ara Payung, Batu Gajah itu telah diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita).

Bagaimanapun, katanya, pertubuhan itu berdepan kekangan untuk meneruskan projek pembangunan termasuk membuat pembiayaan yang disebabkan faktor pemilikan.

“Terbantut kerana ada isu sedikit. Mereka rasa tanah itu boleh diusahakan, tetapi masih lagi atas nama pihak kerajaan. Jadi sukar nak dapatkan pinjaman dan sebagainya.

“Saya merayu kepada kerajaan negeri untuk melihat dan mempertimbangkan permohonan ini seperti yang dikemukakan lama dahulu. Saya difahamkan, Menteri Besar pun tahu perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pekita di Taman Kinta Perdana, Lahat.

Jelasnya lagi, Pekita kini mempunyai 25 penghuni berusia antara 57 hingga 86 tahun masih lagi beroperasi di sebuah rumah yang disewa sejak lebih 13 tahun lalu.

Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menyukarkan pihak pengurusan menambah bilangan penghuni yang semakin meningkat setiap tahun.

“Memang bukan mudah untuk menguruskan orang-orang tua yang dihantar ke sini kerana ada sebahagiannya telah terlantar, tetapi mereka masih dapat menguruskannya dengan baik sekali.

“Setiap bulan, ada sahaja lawatan pemeriksaan daripada pihak berkuasa untuk melihat dari segi kebersihan, kebajikan penghuni dan sebagainya.

“Apabila dapat didirikan pusat penjagaan sendiri kelak, saya yakin hal ehwal kebajikan mereka yang telah berusia dapat dijaga dengan lebih baik dan sejahtera,” katanya.