SUNGAI SIPUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak kini lebih kuat di sebalik krisis yang berlaku ekoran perletakan jawatan dan pemecatan beberapa ketua bahagian.
Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka juga berjaya memastikan kesemua 24 bahagian parti itu di Perak dapat beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, kebanyakan pemimpin bahagian yang meletakkan jawatan adalah mereka yang baharu berhijrah masuk ke dalam parti itu.
“Walaupun ada di kalangan pimpinan bahagian-bahagian sebelum ini yang telah meletakkan jawatan dan sebagainya, namun kita mendapati daripada bahagian-bahagian berkenaan, majoriti besar ahli-ahli dan juga cawangan-cawangan di dalam bahagian-bahagian berkenaan masih lagi kekal setia kepada parti.
“Dengan apa yang berlaku baru-baru ini, saya mendapati di dalam perjumpaan pada hari ini juga, saya mendapati bahawa Bersatu Negeri Perak bukan sahaja walaupun cuba dilemahkan tetapi sebenarnya bertambah kuat daripada sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Perak di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu, Sungai Siput, di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Ahmad Faizal optimis dengan kerjasama baik bersama komponen di Perikatan Nasional (PN), mereka mampu merampas kembali Perak.
Tambahan pula, kata Pemangku Timbalan Presiden Bersatu itu, dengan keadaan yang sedang berlaku di seluruh negara, rakyat sudah bersedia untuk menukar kerajaan.
Dakwanya, antara isu yang melukakan pengundi Melayu di Perak ialah hubungan rapat antara UMNO dan DAP di samping sikap kurang ‘business friendly’ menyebabkan pengundi kaum Cina juga telah beralih arah.
Mengulas pemecatan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau berkata, ia tidak memberi kesan besar kerana majoriti ahli masih setia kepada parti.
Malah, dakwanya, ada di antara bahagian yang bertambah cawangannya dengan mendadak selepas apa yang berlaku.
Ekoran perletakan jawatan dan pemecatan yang berlaku baru-baru ini, 10 daripada 24 bahagian Bersatu di Perak kini diterajui Pemangku atau Penaja Ketua Bahagian.










