BUKIT GANTANG: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) digesa mengumumkan penurunan harga beras putih import (BPI) sebelum menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi.
Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berpendapat, harga itu boleh diturunkan, sekurang-kurangnya sama dengan harga beras putih tempatan (BPT) yang ditetapkan kerajaan RM2.60 sekilogram.
Menurutnya, penurunan itu dilihat berasas memandangkan harga pasaran beras dunia ketika ini telah mengalami penurunan yang ketara.
“Dalam lawatan saya ke Pakistan bersama dengan Perdana Menteri, beras putih import dah berharga RM2,000 satu tan atau RM2 sekilogram, beras Vietnam lagi murah.
“Penurunan itu dah tinggi, maka sepatutnya Bernas menyokong usaha kerajaan dengan menetapkan harga beras seperti import RM26 bagi 10 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah Masyarakat India, di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, harga beras putih import juga wajar ditetapkan tidak melebihi RM2.60 sen sekilogran bagi memastikan beras putih tempatan terus ada dalam pasaran.
“Kalau diletakkan satu gred, satu harga tak ada masalah apa-apa sebenarnya.
“Jadi kalau urusan Bernas, harga dia import tinggikah, rendahkah, dia boleh berurusan dengan dengan kerajaan tapi rakyat tak dikacau, rakyat tidak diganggu.
“Kalau pasaran import naik maka Bernas boleh mengadu pada kerajaan, yang membuat konsesi dan jika harga beras import turun, dia kena turunlah, dia masih lagi membuat keuntungan,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai pemegang konsesi, Bernas bertanggungjawab untuk menstabilkan harga beras, bukannya di bawah tanggungjawab kerajaan lagi.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan wang tunai RM200 kepada 100 pelajar India yang kurang berkemampuan.







