Beli diesel 3,000 liter sejam, KPDN Perak ambil tindakan terhadap stor, stesen minyak

Berita Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengambil tindakan terhadap sebuah stor di Gopeng dan stesen minyak di Tambun yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyelewengan diesel bersubsidi.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu hasil Op Tiris 3.0 yang dilakukan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak mulai jam 9 pagi Jumaat.

Menurutnya, operasi adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Ipoh.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati penyelewengan minyak diesel bersubsidi dilakukan dengan modus operandi menggunakan
sebuah lori canvas yang telah diubahsuai tangki asal dan membuat pembelian secara berulang di stesen minyak sekitar Ipoh.

“Pemandu akan mengisi minyak diesel ke dalam tangki asal dan kemudian akan disedut ke
dalam tangki IBC Tank di atas lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata, siasatan awal juga mendapati, sindiket itu kemudiannya akan menjual
minyak diesel kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar pada harga yang lebih tinggi.

“Minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter
boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3.00 hingga RM4.00 per liter (mengikut harga pasaran minyak diesel industri),” ujarnya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 7,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki Skid.

Menurutnya, cecair berkenaan serta kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti tangki IBC, mesin pum, wayar hose dan lain-lain yang kesemuanya dianggarkan RM 78,933 telah disita untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, katanya, pemandu lelaki warga tempatan berumur 25 tahun dan pemilik stor berumur 32 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, susulan daripada itu, sepasukan pegawai pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN telah membuat serbuan keatas stesen minyak di Tambun.

Ujarnya, semakam awal mendapati pemilik syarikat mengaku membuat 13 transaksi pembelian minyak diesel kepada pemandu lori yang
ditahan sebanyak 3,000 liter dalam masa satu jam di stesen minyak berkenaan.

“Stesen minyak akan disiasat dan jika terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang kerana bersubahat menjual secara berulang kerana melanggar arahan Pengawal, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam
penyelewengan ini,” ujarnya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.