IPOH: Seorang bekas Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas 16 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah keseluruhan RM30,250 sejak enam tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Azian Mat Isa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping yang diamanahkan dengan harta tersebut telah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang imbuhan imam antara RM850 hingga RM5,950 di 10 masjid di Taiping.
Bapa empat anak itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping antara Mac 2019 hingga Jun 2023.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun hingga 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suzieyana Azura Yahaya bersama Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM64,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan, selain syarat melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Taiping.
Tertuduh yang diwakili Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai penternak kambing dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Di samping itu, katanya, tertuduh tidak lagi berkhidmat di Pejabat Agama Islam, malah sejak 2023 telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bagi semua 16 pertuduhan dengan seorang penjamin, di samping syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Taiping pada Jumaat pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.