Batalion 23 RAMD sambut ulang tahun penubuhan yang ke-46

Berita Perak

IPOH: Batalion ke 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-46 bertempat di Padang Kawad Kem Gua Permai, di sini.

Berbeza dengan sebelumnya, perbarisan kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali mengarak panji-panji rejimen dilaksanakan setelah panji-panji dianugerahkan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah kepada pasukan itu pada tahun 2023.

Pegawai Memerintah Batalion Ke 23 RAMD, Lt Kol Mohd Noornashriq Abd Rahim berkata, penganugerahan panji-panji berkenaan sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan batalion berkenaan dalam mempertahankan kedaulatan bangsa dan memelihara keamanan negara.

“Perbarisan mengarak panji-panji rejimen dilaksanakan di pasukan ini setelah dianugerahkan pada tahun 2023.

“Saya selaku pegawai memerintah yang ke-26 merasakan ini adalah satu penghargaan buat diri dan pasukan ini kerana dapat melaksanakan salah satu istiadat perbarisan buat kali pertamanya di batalion yang keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Perbarisan Ulang Tahun Ke 46 Batalion Ke 23 RAMD di Kem Gua Permai.

Istiadat Perbarisan yang penuh bersejarah tersebut melibatkan 18 Pegawai dan 235 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Penolong Pegawai Memerintah Batalion Ke 23 RAMD, Mejar Ardi Mussaddiq Daros.

Batalion 23 RAMD adalah merupakan Batalion yang ke-23 dianugerahkan panji-panji rejimen daripada jumlah keseluruhan 26 Batalion di seluruh negara.

Batalion berkenaan secara rasmi ditubuhkan pada 1 Mac 1979 dengan memegang cogan kata “Hubbul Watan Minal Iman” yang membawa maksud pengorbanan demi cinta dan kasih sayang untuk tanah air, agama, nusa dan bangsa adalah separuh daripada iman.