Bas rempuh belakang lori: Pemandu ada 15 rekod saman trafik, bas 38 saman terkumpul

Berita Perak

IPOH: Pemandu bas ekspres yang terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di kilometer (km) 290.9 Lebuh Raya Utara Selatan PLUS, arah selatan di sini mempunyai 15 rekod saman trafik termasuk dua kesalahan kemalangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, semakan juga mendapati bas ekspres tersebut mempunyai 38 saman terkumpul.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada 5.30 pagi itu berpunca daripada bas yang membawa 25 orang penumpang hilang kawalan dan terlanggar belakang lori tangki muatan simen.

“Pemandu bas itu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang memandu dari arah Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian telah hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori muatan simen yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, juga dalam
perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, 10 mangsa termasuk pemandu dan penumpang bas berusia antara 13 hingga 60 tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

“Manakala 16 orang lagi mangsa termasuk pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Ujar Abang Zainal Abidin lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan tidak
cermat dan tidak bertimbang rasa).

Justeru, beliau meminta saksi yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song, di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.