IPOH: Warganegara asing yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau BAS.MY perlu membayar tambang pada kadar biasa tanpa subsidi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mereka juga tidak layak menerima keistimewaan yang dinikmati pengguna warga tempatan.
Menurutnya. antara keistimewaan itu ialah kad konsesi tambang percuma untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah dan penuntut institusi pendidikan tinggi.
Di samping itu, katanya, warganegara juga ditawarkan kad bulanan RM50 untuk perjalanan tanpa had.
“Warga asing dia tak layak untuk mendapatkan kad tanpa had 50 ringgit yang kita subsidi itu ialah hanya untuk warganegara Malaysia.
“Kalau warga asing mereka kena bayar tiket lah seperti biasa, mengikut kadar tambang, mengikut jarak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti – Henti BAS.My Ipoh di Dewan Bandaran Ipoh pada Isnin.
Beliau berharap rakyat Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya kad-kad konsesi yang disediakan, lebih-lebih lagi kad bulanan RM50 untuk perjalanan tanpa had.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM13 juta setahun untuk program SBST di Perak dengan laluan baharu sehingga ke Kampar dan Kuala Kangsar.



