KUALA KANGSAR: Program tahunan sumbangan komputer riba diteruskan di Parlimen Kuala Kangsar bagi para pelajar cemerlang SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, untuk tahun ini sebanyak 300 komputer riba telah diagihkan.
Katanya lagi, ia sekali gus membantu mereka meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Agihan ini dibuat sejak tahun lalu kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM.
“Ini merupakan program tahunan yang dimulakan pada tahun lalu untuk diberikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan dan berjaya dalam peperiksaan,” katanya selepas majlis penyerahan komputer riba kepada 30 pelajar cemerlang SPM 2024 di sini.
Jelasnya lagi, setiap komputer riba itu merupakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Pusat kepada Parlimen Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pendidikan di Kuala Kangsar.
“Kaedah pembelajaran juga perlu diubah dengan menawarkan kelas tambahan kepada setiap pelajar.
“Pembelajaran bukan di sekolah sahaja. Usaha dibuat dengan para guru agar tuisyen percuma turut disediakan terutama kepada anak-anak di luar bandar ini,” katanya lagi.






