BUKIT GANTANG: Banjir yang berlaku di Daerah Larut Matang dan Selama sejak Khamis malam turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong.
Menurut penduduk, arus deras dari Sungai Trong yang berhampiran menyebabkan beberapa kubur terhakis dan batu nisan bertaburan.
Seorang penduduk, Mohd Ridwan Abdul Karim, 37, arus deras turut menyebabkan sebuah keranda kayu menempatkan jenazah yang dikebumikan kira-kira sebulan lalu timbul.
“Pagi tadi dah tunggu air surut baru kita orang keluar rumah dan ternampak papan.
“Apabila diperiksa didapati itu rupanya papan keranda, tetapi tiada jasad di dalamnya,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, petang tadi.
Menurutnya, selepas bersama penduduk kampung mencari jasad itu, akhirnya ia ditemui sekitar 30 meter dari keranda.
Katanya, mereka kemudiannya memanggil waris untuk membuat pengesahan.
“Selepas disahkan, jasad itu kemudiannya dikebumikan di dalam kawasan kubur ini (kira-kira 50 meter dari kubur asalnya), ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata,
insiden itu antara kesan paling menyedihkan dalam bencana kali ini memandangkan kawasan tersebut menjadi tempat persemadian penduduk tempatan.
Menurutnya, tindakan segera akan diambil sebaik air surut termasuk menyewa jentera bagi menolak kembali tanah yang runtuh dan menutup semula kawasan berkenaan bagi mengelak gangguan lanjut.
“Ini tindakan segera. Saya anggap perkara ini darurat dan kalau perlu, saya guna dana sendiri untuk kerja menutup semula kawasan itu,” jelasnya.











